Pages

Tuesday, August 24, 2010

Gejala Sosial Rogol Atau Jenayah Rogol



Definisi jenayah rogol adalah dalam undang-undang jenayah, istilah "rogol" merujuk kepada serangan seksual yang mana penyerang memaksa mangsa yang enggan bersetuju untuk melakukan hubungan seksual. Sesetengah perundangan menggunakan istilah seperti "serangan seksual" atau "dipukul untuk seksual", dan ada juga yang mentakrifkan "rogol" sebagai serangan seksual dengan penembusan. "Rogol" boleh juga merujuk kepada hubungan seksual dengan seorang yang rela tetapi dari segi undang-undang belum cukup umur. Dalam bahasa pasar, istilah "rogol kenalan" merujuk kepada perogolan yang berlaku antara individu yang berjumpa atau berkenalan. Selain itu Rogol yang disebabkan penggunaan pukau  dan seumpama untuk membuat mangsa mereka tidak sedar akan diri sebelum diserang.

Sejak akhir-akhir ini, masyarakat Malaysia sering dikejutkan dengan berita mengenai kes rogol hingga membawa kepada kes bunuh selepas dirogol di negara kita pada saban tahun. Fenomena ini berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya ialah, keadaan politik di Malaysia kerana ianya melibatkan kepimpinan negara. Senario politik yang berlaku ini menyebabkan pengabaian program untuk mendidik masyarakat.negara kita. Apabila didikan diperingkat Negara tidak dijalankan melalui media elektronik dan media massa maka masyarakat akan kosong jiwa mereka.

 Selain itu, punca jenayah rogol juga adalah berpunca daripada rancangan di media elektronik. Sebagai contohnya rancangan realiti TV yang banyak berunsurkan seks melalui pakaian artis-artis yang menjolok mata sehingga mempengaruhi generasi muda-mudi terikut-ikut cara pemakaian mereka. Apabila cara pemakaian telah melanggar hukum menutup aurat dalam Islam,  faktor yang menyebabkan berlakunya jenayah ini. 

Selain itu dengan kecanggihan teknologi yang semakin pesat ini contohnya teknologi telefon bimbit yang terlalu canggih sehingga kerajaan ataupun pihak berkuasa tidak dapat mengawalnya. Akhirnya terjadilah penyalahgunaan telefon bimbit ini sehingga berlakunya penyebaran video lucah yang dilakonkan sendiri oleh golongan remaja di Malaysia terutamanya remaja melayu yang beragama Islam. Cuba kita lihat di sana sini, majalah hiburan merata-rata dijual dengan gambar-gambar yang menjadi perangsang kepada nafsu. Ditambah dengan media elektronik seperti TV, DVD, internet yang sukar dibendung. Kemudahan yang disalah guna untuk perkara yang tidak sepatutnya mengubah naluri manusia untuk bersikap ganas seterusnya mendorong mereka melakukan jenayah tersebut.

Oleh yang demikian, disebabkan faktor ini juga hingga dapat mempengaruhi masyarakat yang nipis imannya dan kurangnya pengetahuan agama dihanyutkan nafsu serakah mereka. Bahkan yang lebih mengecewakan apabila timbul pula Istilah haruan makan anak ataupun harapkan pagar,pagar makan padi,inilah istilah yang paling sesuai digunakan untuk golongon ini. 

Namun harus diingatkan juga bahawa perlakuan jenayah rogol juga bukan hanya disebabkan berpunca daripada lelaki sahaja tetapi berpunca juga daripada wanita yang menjadikan tubuh badannya yang cantik dan sempurna itu sebagai tatapan khalayak ramai. Gaya pemakaian wanita ini menjadi serius akibat terpengaruh dengan fesyen terkini yang datangnya dari negara barat, maka wanita di Negara ini lupa asal usul dirinya yang sepatutnya berpegang dengan kaedah pemakaian Islam. 

Akhirnya disebabkan budaya pemakaian artis ataupun wanita di negara barat ini telah meresapi ke dalam masyarakat wanita Negara ini, maka inilah yang menyebabkan terjadinya jenayah rogol. Jelaslah Islam mewajibkan pemakaian pakaian yang menutup aurat bagi wanita adalah mempunyai mesej yang sangat bernilai dan menjadi benteng yang utuh serta mencegah daripada berlakunya jenayah rogol ini. Berdasarkan firman Allah s.w.t aurat ini mempunyai hubungan dengan mata, sekiranya terdedahnya aurat maka secara automatiknya nafsu akan memberontak. Apabila nafsu sudah memberontak maka terjadilah jenayah rogol akibat desakan nafsu yang menguasai dirinya sehingga melupakan sifat sebagai seorang insan yang sepatutnya mempunyai sifat keperikemanusiaan. Tanpa agama manusia akan terpesong kerana tiada sempadan hidup. Mungkin ramai yang mengatakan agama mengongkong tetapi dengan kongkongan itulah menyebabkan hidup lebih aman. 

Sebaliknya dengan kehidupan bebas tanpa sempadan pula akan mengucar kacirkan kehidupan di dunia ini. Nilai-nilai murni bukan mudah untuk diterapkan, kadangkala masih terdapat individu yang rajin solat tapi masih mengumpat, memfitnah, melakukan maksiat. Ini disebabkan oleh kurangnya penghayatan dalam solat itu sendiri. Selain itu, pengejaran material yang melampau juga sering menyebabkan individu tersebut lalai menunaikan tanggungjawab sosial samada terhadap keluarga ataupun masyarakat. Disebabkan itulah kurangnya perhatian terhadap keluarga dan kawasan kejiranan. Ini berlaku apabila ibubapa seharian mencari duit tanpa mengikuti perkembangan keluarga dan kawasan setempat. Apabila kurang perhatian, maka akan timbulnya jenayah yang berlaku oleh mereka yang perlu diberi perhatian. seterusnya kurangnya nilai-nilai murni yang diterapkan dalam diri seperti yang kita ketahui, pegangan agama penting bagi memberikan landasan dalam hidup. Selain itu terdapat juga individu yang memperlekehkan agama dengan memberi alasan ‘ Kubur lain-lain’. Memang benar ‘ kubur lain-lain’ tetapi kalau bala menimpa, ianya bukan terkena pada mereka saja, orang yang tiada kena mengena akan terkena tempiasnya juga. Bermula dari itulah runtuhnya intitusi kekeluargaan sehingga tugas dan tanggungjawab sebagai Ibu bapa diabaikan sebagaimana digambarkan oleh Rasululah s.a.w bahawa anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan bersih maka kedua Ibu bapanya yang akan mencorakkannya. 

Malangnya sekarang ini Intitusi kekeluargaan mengalami keruntuhan yang serius berdasar statistik penceraian di Malaysia yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, maka inilah juga punca yang menyebabkan berlakunya jenayah rogol.

Penyelidikan yang dijalankan ini adalah berkaitan punca jenayah rogol ini berlaku. Penyelidikan telah dijalankan di Unit halaqah Penjara Kajang Selangor hasil secara temubual mendapati hamper 90% jenayah rogol berlaku akibat kurangnya penekanan aspek agama terutamanya solat lima waktu yang menjadi asas kepada agama Islam. Justeru, hal ini memerlukan masa yang amat panjang untuk mentarbiah kembalikan masyarakat Islam untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. 

Kesimpulannya masing-masing memainkan peranan penting dalam menangani gejala sosial ini sebagai contohnya pihak kerajaan haruslah lebih efektif dalam merencanakan program untuk masyarakat kearah memulihkan akidah Islam yang kukuh supaya menjadi benteng yang utuh berteraskan keiamanan dan ketakwaan kepada Allah.

Monday, August 16, 2010

Arak / Minuman Keras / Alkohol

Kaki Botol

Alkohol sinonim dengan arak atau minuman keras yang selalunya diminum ketika bersosial atau digunakan untuk mempertingkatkan "mood" seseorang. Ia juga boleh mengakibatkan ketagihan jika selalu diminum. Minuman beralkohol terdapat dalam pelbagai bentuk termasuk bir, wain, brandi dan wiski.


Alkohol merupakan perosak masyarakat sejak zaman berzaman. Pengambilan alkohol secara berterusan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak terkira serta menyebabkan kesengsaraan kepada jutaan manusia di seluruh dunia. Alkohol merupakan punca pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat masa kini. Statistik kadar jenayah yang meninggi, pertambahan kes penyakit mental dan keruntuhan institusi keluarga di serata dunia menjadi testimoni bisu kepada kuasa perosak alkohol.

Mengikut syarak, minuman arak adalah haram dan salah di sisi agama bagi individu muslim yang mengambilnya. Antara sebab pengharaman arak oleh syarak kerana ia memabukkan dan boleh menghilangkan akal orang yang meminumnya. Perbuatan meminum arak adalah termasuk dalam perbuatan syaitan yang dipandang keji oleh syarak.




Faktor-faktor pengambilan alkohol

1) Faktor persekitaran contohnya :

- Mudah didapati

- Harga murah

- Pengiklanan yang menarik di media massa dan media elektronik



2) Faktor Sosial :

- Pengaruh rakan sebaya

- Latarbelakang keluarga

- Pengaruh idola atau orang-orang yang terkenal

- Budaya



3) Faktor Biologi :

- Keturunan

- Personaliti (contohnya: impulsif, mudah gelabah/terangsang)



Kesan-kesan pengambilan alkohol.

Kesan pengambilan alkohol merangkumi pelbagai aspek kehidupan seseorang. Implikasi

sosial termasuk :

- Kurang konsentrasi yang boleh mengakibatkan kemerosotan prestasi pelajaran atau kurang tumpuan terhadap pekerjaan.

- Kekerapan ponteng sekolah yang boleh mempengaruhi pencapaian akademik

- Kelakuan Delinkuen/salah laku

- Penglibatan remaja dalam jenayah untuk membiayai tabiat ketagihan alkohol



Kesan fizikal alkohol adalah:

- Keadaan mabuk (seseorang itu berjalan terhuyung-hayang, pertuturan yang tidak betul atau jelas, bingung dan bercelaru).

- Keracunan (gejala-gejala termasuk mengantuk yang teramat, tidak sedar diri, sukar

bernafas, paras gula yang rendah, sawan dan juga boleh menyebabkan kematian).

- Alkohol menyekat pusat kawalan.

Manusia memiliki pusat kawalan di otak. Pusat kawalan itu melarang seseorang daripada melakukan perbuatan yang di anggap salah. Contohnya seseorang itu pada kebiasaannya tidak menggunakan bahasa kasar atau kesat ketika berhadapan dengan kedua ibu bapa dan dengan orang yang lebih tua. Jika dia perlu kebilik air, pusat kawalan di otak akan menghalangnya dari membuang air di tempat terbuka, maka dia akan menggunakan tandas.

Apabila seseorang meminum alkohol , pusat kawalan tersebut menjadi tersekat. Inilah yang mengakibatkan seseorang yang mabuk melakukan perbuatan yang bertentangan sama sekali dengan peribadinya. Contohnya seseorang yang mabuk didapati menggunakan bahasa kesat dan tidak menyedari kesilapan itu walaupun sedang berhadapan dengan kedua ibu bapanya.



Gangguan kesihatan termasuk:

- Kerosakan otak yang kekal

- Penyakit hepar ( radang hepar, sirosis, kanser)

- Penyakit jantung (peningkatan tekanan darah, angin ahmar/strok)

- Ulser pada perut (ulser gastrik dan peptik)

- Kanser usus

- Penurunan naluri seks dan mati pucuk

- Keguguran spontan

- Bayi yang tidak normal

- Anaemia (kandungan darah rendah)

- Memperlahankan fungsi sistem saraf pusat

- Mengubah persepsi, emosi, pergerakan, penglihatan, dan pendengaran seseorang.



Masalah Psikososial juga mungkin timbul. Antaranya :

- Perubahan personaliti

- Kemurungan

- Bunuh diri

- Kelakuan agresif



Risiko tidak langsung terhadap kesihatan.

- Terlibat dalam gejala seks yang tidak selamat (berisiko tinggi mendapat HIV/AIDS)

- Menunjukkan perilaku yang ganas

- Menderita akibat kecederaan contohnya akibat kemalangan jalanraya.





Bilakah seseorang itu disyaki mengalami ketagihan alkohol?

- Keinginan yang teruk atau gian untuk minum alkohol

- Gagal untuk berhenti dari terus minum

- Gejala fizikal ( berketar, berpeluh dan loya)

- Perlu meningkatkan jumlah alkohol yang diminum

- Meneruskan tabiat minum walaupun mengalami banyak masalah yang

diakibatkan oleh alkohol.





Bagaimana anda boleh menghindari dari alkohol?

- Mengamalkan gaya hidup sihat dan banyak bersenam.

- Berkemahiran untuk menangani stress dan masalah yang dihadapi

- Jauhi dari rakan yang mengambil alkohol

- Isikan masa sepenuhnya - Ambil bahagian dalam sukan, mulakan satu program

senaman atau hobi, mengambil bahagian dalam aktiviti sosial yang berfaedah

seperti PROSTAR dan Rakan Muda

- Jangan menerima pelawaan untuk mencuba alkohol walaupun untuk sekali sahaja

- Jauhi dari tempat yang boleh menggalakkan pengambilan alkohol seperti bar,

kelab malam, disko dan sebagainya.

- Mempunyai kemahiran/kebolehan bagi menangani masalah sama ada kecil atau

besar.



Apakah yang boleh anda lakukan jika mempunyai masalah alkohol?

- Dapatkan pertolongan secepat mungkin

- Berbincang dengan orang dewasa yang boleh dipercayai (ibubapa, doktor,

kaunselor sekolah dan sebagainya) atau seseorang yang boleh memberi sokongan.





MITOS REALITI


1)  Penggunaan alkohol membuat seseorang individu berasa seperti dewasa.
     - Remaja yang tidak mengambil alkohol adalah lebih matang dan dapat berfikir secara rasional.
       Mereka juga kurang bermasalah.

2) Alkohol memudahkan mereka mendapat ramai kawan dan diterima sebagai sebahagian dari kumpulan
    tersebut.
    - Rakan yang tidak mengambil alkohol boleh lebih dipercayai dan merupakan kawan yang sentiasa    mengambil berat. Perhubungan antara kawan juga lebih sihat tanpa penggunaan alkohol.

3) Alkohol membuatkan seseorang itu nampak "cool" dan berjaya.
    - Alkohol mengakibatkan mabuk,yang mana ini jelas tidak "cool" dan juga merbahaya.

4) Alkohol menghilangkan rasa bosan dan memberi keseronokan.
    - Kegembiraan adalah lebih nikmat apabila seseorang itu mengambil bahagian dalam aktiviti sihat dan tidak
mabuk. Kegembiraan di bawah pengaruh alkohol tidak bertahan lama dan mudah dilupakan.

5) Adalah lebih baik mengambil alkohol semasa remaja supaya anda boleh berhenti mengambilnya semasa
    dewasa ketika anda mempunyai lebih tanggungjawab. Remaja juga mempunyai tanggungjawab yang penting. Malahan, alkohol boleh mengakibatkan ketagihan hingga ke peringkat dewasa. Memulakan aktiviti sihat pada usia yang muda menjadikan seseorang itu lebih baik dan sihat apabila dewasa kelak.


10 golongan ( dilaknat) yg terlibat dengan arak :

1. Pemerah arak : iaitu pekerja -pekerja yg melakukan kerja pemerahan buah-buahan seperti anggur yg bertujuan hasil dari perahan anggur itu akan dijadikan arak samada mengunakan teknologi moden atau cara lama. Hasil pekerjaannya ( upah/gaji yg diterima ) adalah haram begitu juga perbuatannya.

2. Meminta diperahkan arak untuknya : Bermaksud majikan /pengurus sesebuah syarikat yg menggaji beberapa orang pekerja di kilangnya untuk bekerja sebagai operator pengeluaran .Maka haramlah pekerjaannya itu.

3. Peminum arak : Orang yg meminum arak walaupun setitik /tidak mabuk /hanya cuba-cuba .perbuatan itu adalah haram

4. Pembawa arak : Ia boleh dimaksudkan sebagai pelayan di sesebuah restoran/kedai makan /hotel ataupun boleh juga dimaksudkan sebagai pemandu lori yg membawa muatan arak dari sesuatu tempat ke suatu tempat yg lain .Perbuatan itu adalah haram walaupun ia tidak meminumnya .

5. Meminta dibawakan arak kepadanya bermaksud seseorang yg membuat pesanan arak samada untuk diminum ataupun di simpan sebagai koleksi .Maka perbuatan itu adalah haram

6. Memberi minum arak kepada orang lain bermaksud seseorang yg memberi orang lain minum padahal dia tidak meminumnya cth : seseorang Islam membelanja minum rakannya bukan Islam minum arak di sesebuah restoran. Perbuatan itu adalah haram

7. Penjual arak : Boleh diertikan sebagai tuan kedai /restoran yg menjual arak kepada pelanggannya walaupun dia tidak meminumnya ,perbuatan itu juga haram .

8. Orang yg mendapat hasil drp arak : Suatu skop yg lebih luas dan pelbagai bolehlah dikatakan sebarang aktiviti yg berkaitan dengan arak adalah haram cth : Pengawal keselamatan yg mengawal keselamatan kilang arak dan mendapat gaji daripada pengurus kilang tersebut . Maka perbuatan/gaji itu adalah haram.

9. Orang yg membeli arak bermaksud orang yg membeli arak samada untuk diminum atau tidak . Maka perbuatan itu pun haram

10. Orang yg meminta dibelikan arak untuknya : Bermaksud seseorang yg meminta seseorang yg lain membelikan arak untuknya kerana sebab yg tertentu .



Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud

” Wahai orang yang beriman!. Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.”

Setiap yang memabukkan dan menghilangkan akal fikiran itu haram hukumnya. Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud, Dari Ibnu Umar r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda;

” Setiap yang memabukkan dinamakan khamar (arak) dan setiap yang memabukkan haram hukumnya.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud; “Dari Ibnu Abbas berkata; Rasulullah SAW bersabda;

“Jauhilah arak kerana ia adalah kunci segala kejahatan“

Imam Abu Laits berkata;

“Jauhilah diri daripada arak kerana ia mengandungi banyak keburukan iaitu orang yang minum arak akan menjadi seperti gila. Allah S.W.T akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak dan amalannya serta doanya tidak akan diterima selama 40 hari. Orang yang minum arak akan dijauhi daripada rahmat Allah S.W.T dan dibenci oleh para malaikat.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkanoleh AlHakim yang bermaksud;

“Apabila seseorang melakukan zina atau minum arak, maka Allah mencabut imamnya seperti mana orang yang menanggalkan baju melalui kepalanya”.



KESIMPULAN

Kesimpulannya, arak adalah ibu segala maksiat. Sebagai seorang mukmin , kita wajib menghindari diri daripada terlibat atau terjerumus ke dalam lembah maksiat seperti minum arak , berjudi, berzina, menipu,pecah amanah, mengamalkan rasuah dan sebagainya lagi yang mengundang kemurkaan allah SWT.

FAKTA:

• Orang yang meminum arak seolah-olah seperti orang gila.

• Allah SWT akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak.

• Amalan serta doanya tidak akan diterima Allah SWT selama 40 hari.

• Orang yang meminum arak akan dijauhi dari rahmat Allah SWT.

Pelacuran



Pelacuran adalah penjualan khidmat seksual, seperti seks oral atau hubungan seks, biasanya untuk wang, namun kadang-kadang juga untuk dadah, barang kemas ataupun hartanah. Seseorang yang melacurkan diri disebut pelacur. Kebanyakan pelacur adalah perempuan, namun ada juga pelacur lelaki.. Kawasan bandar yang berleluasa dengan gejala tidak bermoral ini contohnya, kawasan seperti Chow Kit iaitu Lorong Haji Taib,Lorong Changkat, Bukit Bintang dan Petaling Street merupakan antara kawasan utama kegiatan pelacuran di Malaysia. Pelacur juga dapat dikelaskan kepada tujuh kategori utama seperti bohsia, pelacur pasar, pelacur jalanan, pelacur bermajikan, pelacur tukang urut dan pelayan pusat hiburan, pelacur bebas serta pelacur kehormat.

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PELACURAN

Faktor ekonomi

Faktor ekonomi merupakan salah satu punca yang mempunyai peratusan yang agak tinggi dalam gejala perlacuran ini. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan masalah pegangguran, kemiskinan, hutang, peningkatan kos hidup dan peluang pekerjaan yang tidak seimbang dengan kelulusan menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kehidupan. Selain itu,ada juga seseorang yang keinginan untuk hidup mewah dengan cara mudah tanpa bekerja keras dengan memperolehi wang beribu ringgit dalam satu masa.

Faktor Sosial

Keruntuhan moral seperti kurang didikan asas agama dan pengetahuan serta penghayatan agama daripada keluarga menyebabkan nilai murni budaya dalam sesetengah masyarakat semakin menipis. Oleh yang demikian, tidak mustahillah bagi mereka yang kurang pegangan agama atau tidak menurut perintah agama mudah terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral seperti pelacuran ini.

Selain itu, keruntuhan rumahtangga seperti masalah penceraian dan pergaduhan menyebabkan anak-anak mereka yang usia remaja di antara lingkungan 12-18 tahun merasa tertekan dan mencari kebebasan dan keseronokan di luar. Pada usia tersebut, remaja lebih mudah terpengaruh dengan budaya negatif yang membawa kerugian kepada diri mereka sendiri.

Kezaliman keluarga juga adalah salah satu permasalahan di dalam faktor sosial. Contoh kezaliman keluarga yang berlaku pada masa ini ialah melacur kan diri iaitu disebabkan oleh paksaan daripada suami, keluarga dan pemiutang menyebabkan anak gadis atau isteri mereka sebagai pertukaran. Akhirnya, anak gadis dan isteri dipaksa melacur untuk membayar hutang keluarga. Sekiranya tidak mengikut perintah yang disuruh, mereka akan dibelasah, diancam dan diseksa tanpa belas kasihan. Penglibatan ahli keluarga dalam gejala sosial seperti penagihan dadah, meminum arak,merokok, mencederakan orang dan kaki perempuan juga megakibatkan anak-anak mereka mudah terpengaruh kepada gejala sosial.Selain daripada itu, ibu-ibu tunggal yang tidak mempunyai kemahiran pendidikan dan pengalaman kerja mudah terjebak apababila hilang punca sepencarian setelah kematian atau diceraikan oleh suami.

Faktor persekitaran

Faktor luar yang mempengaruhi pelacur daripada terjerumus ke dalam kegiatan anti-sosial adalah seperti pujukan muncikari (barua), disebabkan oleh pekerjaan dan mereka dipaksa bekerja. Selain itu juga,sesetengah golongan remaja yang mudah terpengaruh daripada rakan-rakan apabila mereka mempunyai permasalahan dalam keluarga, tertekan, perasaan ingin mencuba, pantang dicabar dan juga terpengaruh kepada perkara-perkara yang negatif daripada media massa dan media elektronik. Walau bagaimanapun, pelancong luar turut membawa kesan negatif kepada budaya tempatan. Contohnya seperti segelintir rakyat Malaysia yang mengagung-agungkan bahasa dan budaya asing terutamanya generasi muda. Hal ini dapat dilihat melalui tutur kata, pakaian, dan kelakuan generasi muda hari ini yang bertentangan dengan budaya timur.

KESAN-KESAN DARIPADA PELACURAN

Kesan daripada seseorang yang menjadi pelacur adalah penyakit berjangkit melalui alat kelamin seperti herpes,sifilis, AIDS dan HIV. Selain daripada itu, mereka juga boleh mengalami kesan mental dan psikologi dalam diri apabila menyedari telah jauh menyimpang daripada landasan kehidupan. Risiko untuk mengandung anak luar nikah juga adalah tinggi. Walaupun mereka memakan ubat, pil dan sebagainya untuk mengelakkan daripada hamil, namun kesan daripada melakukan hubungan seks secara kerap memungkinkan mereka untuk hamil tanpa disedari. Tetapi, adalah mustahil untuk seseorang pelacur untuk memelihara kandungan apabila mengetahui dirinya mengandung, maka sudah pastilah mereka akan menggugurkan kandungan tersebut atau berlakunya pembuangan bayi. Hal ini menambahkan lagi satu permasalahan lain. Kesan lain termasuklah pengambilan dadah seperti pil khayal dan ecstasy akan dipandang hina oleh masyarakat, menjatuhkan maruah keluarga dan tiada harga diri. Justeru itu, memberi kesan kepada masyarakat di negara ini sekiranya kegiatan pelacuran semakin berleluasa. Masyarakat yang tidak bermoral boleh terbentuk dan meningkatnya masalah sosial lain di negara ini.

Manakala kesan pelacuran kepada negara pula ialah menjejaskan imej negara sebagai sebuah negara Islam atau reputasi negara akan tercemar. Para pelancong asing juga akan memandang negatif terhadap negara ini dan mereka boleh membuat spekulasi yang tidak sepatutnya. Malah negara terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi membiayai perubatan mereka yang telah dijangkiti penyakit AIDS dan HIV kerana terpaksa mendapatkan vaksin untuk memperlambatkan perebakan sel tersebut dan mereka ini seolah-olah mayat hidup serta tidak mendatangkan hasil kepada negara.

Selain dari itu, terdapat juga kesan negatif terhadap ekonomi negara seperti terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar untuk program pemulihan dan pencegahan, daya pengeluaran negara terjejas kerana sumber tenaga yang lemah, membantutkan pembangunan negara serta kurangnya sumber tenaga yang berkualiti.

CARA-CARA MENGATASI PELACURAN

Mempelbagaikan hukuman seperti mengenakan sebatan, hukuman penjara dan denda mengikut tahap kesalahan yang dilakukan. Selain itu, bayaran denda yang dikenakan daripada sindiket-sindiket ini boleh digunakan untuk tujuan kebajikan bagi membantu rumah kebajikan atau ibu tunggal yang memerlukan pertolongan. Selain daripada itu, pelucutan visa harus dikenakan terhadap warga asing terutama bagi ‘ibu ayam’ dan ‘bapa ayam’ yang datang ke Malaysia supaya mereka tidak berpeluang untuk masuk semula ke negara ini. Bagi pelacur pula,memberi hukuman denda dan membuat kerja kebajikan kepada pelacur supaya mereka menyedari apakah erti kehidupan yang sebenar pada diri mereka. Terdapat juga saranan supaya hukuman mati dikenakan terhadap sindiket-sindiket pelacur atau dalang besar di sebalik kegiatan ini. Relevannya hukuman ini adalah tindakan penyeludupan manusia iaitu melibatkan golongan wanita ini telah menyebabkan pencabulan hak asasi manusia yang serius. Seperti manusia lain, semua orang berhak untuk hidup dengan aman tanpa sebarang gangguan dan berhak terhadap kebebasan dirinya. Namun, nasib malang telah menimpa diri mereka yang dipaksa, ditipu, diperdaya, diculik dan diperangkap untuk menjadi pelacur oleh sindiket-sindiket.

Selain itu, mewujudkan kempen kesedaran mengenai kesan-kesan negatif pelacuran sama ada dilacur atau melacur haruslah didedahkan kepada masyarakat umum supaya mereka sentiasa berwaspada dan mengingatkan orang yang tersayang agar mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah pelacuran.

Saluran pendidikan juga memainkan peranan yang sangat penting bagi generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang agar tidak terlibat dengan jenayah dan keruntuhan akhlak. Pendidikan dapat membina pengetahuan, pemikiran yang bijak, rasional, tidak tamak haloba dan tidak mudah diperdaya oleh orang lain. Dengan mempunyai pegangan hidup dan pendirian diri yang kukuh maka tidak mudah untuk seseorang ditipu dengan janji-janji manis sindiket pelacuran. Selain daripada itu, didikan agama dan pegangan agama yang kukuh adalah sangat mustahak bagi seorang individu. Individu yang mempunyai pegangan agama yang kukuh tidak akan melakukan perkara yang boleh merosakkan akhlak dan menyalahi undang-undang. Ibu bapa juga perlulah memainkan peranan dengan sentiasa memantau dan prihatin terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mengetahui rakan pergaulan anak mereka supaya tidak terlibat dengan gejala sosial. Komunikasi dua hala iaitu antara ibu bapa dan anak adalah lebih baik untuk diamalkan dalam menyelesaikan sebarang konflik dan permasalahan. Masalah tidak akan selesai dengan cara kekerasan kerana anak-anak akan lebih memberontak dan lari daripada rumah.Terdapat kajian yang menyatakan bahawa anak-anak yang dididik di bawah persekitaran yang sihat dan penuh dengan kasih sayang kurang terjebak dengan gejala sosial yang tidak baik.

Pihak polis perlu berkerjasama dengan polis rantau Asia dan antarabangsa bagi menghapuskan sindiket pelacuran antarabangsa yang biasanya melibatkan golongan yang amat berpengaruh. Masalah kegiatan pelacuran ini tidak akan selesai sekiranya pihak polis hanya dapat menangkap sebahagian kecil daripada kumpulan sindiket ini. Dengan erti kata lain, pihak polis haruslah lebih berusaha melancarkan operasi mengejut di kawasan yang sentiasa mendapat langganan pelacuran yang tinggi. Pemantauan secara berterusan juga perlu dilakukan bagi membolehkan mereka menangkap dalang sebenar sindiket terbabit.

Manakala pula,masyarakat juga perlu mengambil berat tentang pelacuran ini dan melaporkan kegiatan pelacuran kepada pihak polis supaya pusat atau tempat pelacuran dapat dibanteras.

Dari segi pelaksanaan undang-undang, lesen untuk membuka pusat hiburan seperti disko dan pusat urut haruslah diperketatkan supaya pihak berkuasa dapat mengawasi segala aktiviti pusat hiburan dengan lebih efektif. Terdapat banyak hotel-hotel murahan, pusat urut dan disko menjalankan perniagaan pelacuran di sebalik perniagaan yang sebenar.

Pihak imigresen juga harus memantau semua warga asing yang masuk ke dalam negara ini sama ada untuk tujuan bekerja atau melancong. Ini kerana terdapat kes yang mana warga asing yang datang ke Malaysia untuk melancong tetapi sebaliknya berlaku iaitu mereka bekerja sebagai pelacur. Banyak sindiket yang menggunakan jalan mudah ini secara berterusan sebagai laluan utama dalam menjalankan kegiatan pelacuran. Taktik ini dipercayai dapat mengelak kegiatan mereka daripada dihidu dan seterusnya mengaburi pihak berkuasa.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, jika dilihat, kegiatan pelacuran terus berlaku kerana selagi terdapat permintaan selagi itulah kegiatan pelacuran akan tetap dijalankan. Seterusnya, semakin giatlah sindiket-sindiket pelacuran untuk mencari mangsa bagi dijadikan pelacur untuk memenuhi permintaan pasaran yang ada. Keuntungan yang tinggi hasil perniagaan pelacuran ini menjadikan mereka tamak dan tidak mengenal erti takut walaupun tindakan undang-undang boleh dikenakan. Golongan pelacur yang menjadi mangsa perlu didekati dan diselamatkan agar mereka dapat kembali ke pangkal jalan dan memulakan sebuah kehidupan baru. Penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu dipertingkatkan oleh pihak berkuasa dan kesedaran, kerjasama serta rasa bertanggungjawab dalam anggota masyarakat perlu disemai bagi membantu untuk membanteras jenayah ini agar tidak terus-menerus mencabuli hak asasi manusia lain. Dari Statistik Polis Kuala Lumpur menunjukkan permintaan terhadap kanak-kanak dan wanita sebagai buruh dan untuk kegiatan pelacuran semakin meningkat. Dari 1 Mei 2004 hingga Mei 2009, sejumlah 117 kanak-kanak dan wanita warga asing terbabit dalam perhambaan moden di negara ini.

Gejala Ponteng Sekolah


Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar dianggap memonteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari-hari persekolahan. Sejak akhir-akhir ini masalah ini didapati semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang agak serius. Pihak media juga sering menyiarkan berita tentang masalah ini sehingga pada masa ini pihak guru serta ibu bapa berasa sesuatu tindakan yang tegas perlu dilakukan segera sebelum gejala negatif ini sampai ke peringkat yang lebih kronik lagi. Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, peratus pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan bandar. Pada hemat saya punca-punca sebenar masalah ini haruslah dikenal pasti dengan segera supaya langkah-langkah untuk mengatasinya dapat dijalankan demi masa depan generasi pelajar kita pada masa depan. Ini kerana mereka adalah terdiri daripada bakal pemimpin Negara kelak.


Antara punca pelajar ponteng yang telah dikenal pasti ialah kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah. Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran kita yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, geografi, pendidikan Islam dan sebagainya. Di samping itu, pelajar juga kurang berminat kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.

Pelajar juga mungkin ponteng kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan pelajaran bagi menjamin masa depan mereka. Oleh itu, mereka lebih mengutamakan unsur-unsur hiburan yang tidak terdapat di sekolah.

Terdapat juga para pelajar yang memberikan alasan yang tidak munasabah seperti takut didenda, guru yang garang, malu, dan sebagainya. Pelajar yang berkenaan mengambil keputusan untuk ponteng kerana mereka takut didenda kerana tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru. Terdapat juga pelajar yang datang lewat lalu mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu. Selain itu, Pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi guru itu biasanya akan ponteng dan bersembunyi atau melepak di kawasan-kawasan yang sukar dikesan. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.

Di antara langkah-langkah yang wajar di ambil untuk menangani masalah ini ialah, biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.

Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana bekerja secara sambilan. Oleh sebab taraf ekonomi keluarga yang rendah, terdapat pelajar yang bekerja secara sambilan sebagai kedi di padang golf, dan tidak kurang pula yang bekerja sebagai buruh di tapak binaan. Malah masih ramai di kalangan pelajar yang bekerja secara sambilan di pasar raya dan mereka terlalu keletihan sehingga tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam.

Kesimpulannya sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan kadar segera, peratus pelajar ponteng pasti akan meningkat dan akan menggugat cita-cita pihak kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang berpendidikan tinggi, cerdas, dan pintar. Sekali gus masalah ini akan membantutkan kemajuan negara kita. Peranan ibu bapa, pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan amat penting untuk memastikan gejala ini tidak berterusan sehingga menjadi lebih serius.

Sunday, August 15, 2010

Jenayah Ragut



Jenayah ragut kini semakin berleluasa di mana sahaja, tidak kira di bandar mahupun di kampung. Agak sukar sebenarnya untuk membanteras jenayah ragut ini kerana kita tidak tahu bila ia akan berlaku dan siapa yang akan melakukannya. Saban hari kita dikejutkan dengan insiden ragut sehingga mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk setempat. Ada yang mula berfikir dua kali sebelum menjejakkan kaki keluar dari rumah mereka terutamanya pada waktu malam.

Kebimbangan mereka sememangnya berasas apabila insiden ragut kini semakin berleluasa pada masa kini. Namun, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Tetapi perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia. Mengharapkan anggota polis sahaja untuk membanterasnya amat tidak adil sama sekali. Tiada sesiapa pun yang akan tahu bilakah jenayah ini akan berlaku.

Mungkin kita sendiri yang kena ragut walaupun kita ditanamkan sikap berhati-hati untuk mengelakkannya daripada berlaku. Bagi penjenayah dan sesiapa sahaja yang gemar melakukan kejahatan, ragut adalah “kerja yang paling mudah dan menguntungkan dalam sekelip mata sahaja”. Hal ini kerana dengan beberapa saat sahaja, dompet, telefon atau beg tangan telah berjaya dilarikan oleh peragut. Kerana itulah peragut boleh membuat “kerja mudah” ini berulang kali dalam sehari. Sekali mereka berjaya melakukannya, menyebabkan mereka “gian” untuk melakukannya lagi. Yang menjadi mangsa ialah kita sendiri. Walaupun kita sering berhati-hati, namun peragut yang tidak berhati perut ini tidak mengenal mangsa.

Mereka melihat situasi yang sesuai dan keputusan yang dibuat dalam sekelip mata sahaja untuk menjalankan kerja yang terkutuk ini. Pelaku jenayah ragut semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Tidak dinafikan mereka ini adalah golongan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kebanyakannya juga terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Cara mudah bagi mereka untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah ialah meragut. Ada juga peragut yang melakukan jenayah ragut semata-mata kerana inginkan wang lebih untuk membeli barangan berharga kerana gaji yang diterima setiap bulan adalah sedikit, sedangkan nafsu kebendaan mereka sangat besar. Lebih menyedihkan, jenayah ragut kini melibatkan pula jenayah kekerasan dan kematian. Sungguh sedih mendengar berita apabila mangsa ragut terbunuh akibat mempertahankan barangan miliknya dari peragut oleh penjenayah. Peragut kini seolah-olah sudah dirasuk hantu apabila sanggup membunuh walaupun diketahui barangan yang diragut tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

Punca-punca berlaku jenayah ragut

Jika mengkaji punca jenayah dengan lebih teliti, kita akan mendapati terdapat banyak punca yang mengakibatkan berlakunya kes-kes jenayah ragut. Memang tidak dinafikan, media massa juga ialah salah satu punca kegiatan jenayah ragut. Kemudahan seperti internet, e-mail, televisyen dan radio boleh disalahgunakan oleh masyarakat untuk mendapatkan video tentang cara-cara meragut dan sebagainya.

Hal ini lebih mendorong masyarakat untuk melakukan jenayah. Secara tidak langsung, keselamatan seluruh masyarakat kini semakin teruk. Menurut kajian, ramai pelancong asing yang menjadi mangsa kepada jenayah ragut ini. Kesan kepada imej negara daripada kejadian jenayah yang melibatkan pelancong-pelancong sedikit sebanyak memberi kesan jangka panjang kepada mangsa tersebut.

Selain itu, bagi mangsa yang diragut, mereka akan menanggung kesengsaraan akibat kecederaan fizikal dan masalah kesihatan di samping mengalami trauma akibat gangguan mental dan emosi seperti rasa takut, tekanan perasaan dan rasa rendah diri. Memandangkan kes semakin meruncing, penguatkuasa undang-undang hendaklah diperketatkan. Masyarakat yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh semasa proses meragut hendaklah dikenakan hukuman mati mandatory bagi memberikan pengajaran kepada orang lain.

Punca-punca lain yang mengakibatkan jenayah ragut ialah ekonomi yang sedang merosot menyebabkan ramai orang kehilangan peluang pekerjaan yang mengakibatkan sebahagian orang rela meragut untuk mendapatkan sumber wang dengan cepat. Selain itu, penagih dadah yang meragut untuk mengumpulkan wang dan membeli dadah dari penjual dadah. Sebahagian remaja cuba meragut dengan sebab ingin mencari keseronokan atau dipengaruhi oleh rakan sebaya.

Usaha-usaha yang dijalankan untuk membanteraskan jenayah ragut

Dalam usaha mengatasi jenayah ragut, Polis Kuala Lumpur bertindak mewujudkan operasi berkonsepkan ‘kepolisan agresif’ dengan menggabungkan setiap jabatan dan cawangan untuk mengesan mereka yang terlibat dalam apa jua jenayah di ibu negara. Bagi pihak polis pula, diharapkan pendekatan itu dilakukan secara besar-besaran supaya ia dapat menutup peluang untuk semua penjenayah ragut bermaharajalela.

Polis boleh menugaskan lebih ramai anggota yang tidak beruniform bagi memantau kawasan berisiko terutamanya di kompleks membeli-belah kerana di situ terdapat ramai pelancong. Usaha-usaha lain yang perlu dilakukan untuk membanteras jenayah ragut ialah memerhatikan sekeliling anda samasa berjalan di lorong kecil atau kawasan yang sepi. Selain itu, orang ramai perlu memerhatikan orang yang disyaki dan cuba bersembunyi identiti mereka dengan memakai topi keledar, cermin mata hitam ataupun memakai topi dengan menarik ke bawah untuk menutup muka mereka.

Orang ramai perlu memegang telefon bimbit pada tangan supaya anda boleh mendapatkan pertolongan pada bila-bila masa. Orang ramai juga perlu mengelakan daripada menggunakan lorong kecil dan jalan yang sepi serta mencari beberapa orang kawan menemani anda jika anda terpaksa menggunakan jalan yang gelap dan sepi.

Kesimpulan

Semua orang haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa, kempen-kempen kesedaran, motivasi dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin negara.

Masalah Rempit



Gejala Mat Rempit merupakan gejala yang kian meruncing di negara kita kini. Gejala ini dikatakan semakin kritikal di mana anak-anak remaja seawal di sekolah rendah sehinggalah di peringkat menengah terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini. Gejala Mat Rempit ini dianggap satu fenomena kepada negara berikutan kerosakan akhlak di
kalangan remaja di Malaysia menjadi seorang samseng jalanan. Kebanyakan Mat Rempit merupakan remaja Melayu iaitu 95% yang terlibat. Permulaan gejala Mat Rempit ini adalah disekitar Kuala Lumpur pada awal 80an dan merebak keseluruh negara hingga kini dan dikhuatiri semakin kronik jika tidak dibendung.





Menurut istilah, Mat Rempit merupakan penunggang motosikal yang dikaitkan dengan perlumbaan haram, gejala maksiat dan boleh membawa kepada gejala sosial yang lain seperti dadah, rompakan, gangguan seksual, rogol dan sebagainya. Biasanya Mat Rempit sinonim dengan perlumbaan haram di jalanan. Mat Rempit biasanya akan menggunakan motosikal sebagai alat untuk mereka berlumba sesama mereka dan melakukan aksi-aksi yang merbahaya yang boleh membawa kepada maut.  Jadi gejala ini perlu dikawal dan dihapuskan segera secara menyeluruh kerana gejala ini sukar dirawat. Mereka lebih tertumpu kepada motosikal kapcai yang telah diubahsuai.  Antara motosikal yang sering diguna oleh Mat Rempit seperti Honda EX5, Yamaha RXZ dan sebagainya. 

Yamaha RXZ
Honda EX5








Selain itu, dikalangan Mat Rempit ini tidak mempunyai lesen, tidak mempunyai cukai jalan yang juga mungkin menaiki motosikal curi.  Biasanya jalan-jalan taman ditukar menjadi litar mereka untuk bersaing. 


Kenapa Merempit?

 Pengaruh Rakan Sebaya

Biasanya Mat Rempit akan melakukan kegiatan haram ini apabila mereka terpengaruh dengan aktiviti rakan sebaya yang tidak sihat. Rakan sebaya merupakan orang yang lebih rapat dengan mereka berbanding ibubapa.  Ibubapa yang tidak memperdulikan anak-anak yang semakin membesar ini mengakibatkan remaja ini tidak dipandu dangan baik.   Pengaruh ajakan rakan-rakan yang telah mempunyai motosikal dapat mempengaruhi seseorang remaja dengan lebih cepat dan menjadikan seseorang remaja itu menjadi lebih berani untuk melakukan sesuatu walaupun kerja itu menyalahi undang-undang. Sebagai permulaan, remaja ini akan mencuri guna motosikal di kalangan keluarga secara senyap untuk cuba beraksi tanpa pengetahuan ibubapa. Bagi remaja yang tidak mempunyai motosikal, mereka akan mencuri motosikal orang lain dan akan mengubahsuai motosikal tersebut seperti menukar nombor plat supaya sukar untuk dikesan dan dapat mengelirukan pihak berkuasa. 
                               

      Habuan Yang Akan Dapat.

Selain dari ajakan rakan-rakan, seseorang Mat Rempit akan terpengaruh dengan habuan yang akan mereka dapat sekiranya mereka memenangi sesuatu perlumbaan.  Antara habuan yang akan mereka dapat adalah seorang remaja perempuan atau lebih dikenali sebagai Minah Rempit. Selain itu, ganjaran wang akan diberikan kepada mereka sekiranya dapat mengalahkan mat-mat rempit yang lain.  Jadi untuk sedaya upaya mendapatkan ganjaran atau habuan yang ditawarkan, mereka sanggup untuk menggadaikan nyawa mereka semata-mata untuk mengecapi keseronokan.

 
















    Sekadar Suka-suka

Mat Rempit biasanya akan melakukan aktiviti ini sekadar suka-suka dimana mempertunjukkan aksi-aksi merbahaya untuk menjadi tontonan orang ramai yang datang menyaksikan.  Antara aksi yang sering mereka lakukan adalah gaya Superman, Wekang, wheely dan sebagainya.  Aksi- aksi ini dilakukan untuk menunjukkan kehebatan mereka membawa motosikal pelbagai cara. 

Gaya 'Superman'
Gaya 'Wekang'
Gaya 'Wheely'





Kesan Aktiviti Rempit

Gejala rempit hanya mendatangkan satu gejala yang boleh memudarat sahaja, iaitu membahayakan penunggang atau dengan lebih tepatnya lagi membahayakan pelumba haram berkenaan. Tetapi jika diteliti sebetulnya aktiviti yang tidak bermoral ini mendatangkan pelbagai masalah kepada individu berkenaan, masyarakat, agama dan negara. Gejala ini turut memberi kesan negatif kepada aktiviti sosial,ekonomi, agama dan politik.

Sosial
Dari segi sosial, mereka yang merempit ini biasanya boleh mengganggu ketenteraman dan ketenangan suasana malam. Masalah penyalahgunaan dadah yang sering dikaitkan. Bahkan yang paling membimbangkan ialah pertaruhan yang dibuat bagi memenangi perlumbaan. Dalam kes rempit atau lumba haram ini menjadikan wanita sebagai pertama taruhan.  Remaja-remaja perempuan sanggup menggadaikan maruah mereka menjadi pembonceng kepada teman lelaki mereka yang merupakan anggota kumpulan mat rempit. Jika teman lelaki mereka kalah didalam perlumbaan, maka akan dijadikan hadiah untuk dimiliki oleh mat rempit yang lain, yang memenangi perlumbaan tersebut. Gejala ini merupakan barah dalam masyarakat perlu ditangani dengan segera sekiranya kita tidak mahu lagi mendengar kes-kes anak luar nikah,pembuangan bayi dan gejala penyakit berbahaya AIDS dan sebagainya. 
Ekonomi

Jika dilihat melalui perspektif ekonomi pula, Mat Rempit telah mensia-siakan waktu muda mereka yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan potensi diri masing-masing. Tetapi peluang kemakmuran dan kemajuan negara dimanfaatkan oleh rakyat asing lantaran kerana anak negeri sendiri tidak berminat untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membangunkan negara supaya seiring dengan kejayaan negara-negara maju yang lain.  . Kegiatan rempit ini akan menyumbang kepada kegiatan mencuri, meragut dan sebagainya, yang pastinya negara akan mengalami kerugian dan sebagainya, yang pastinya negara akan mengalami kerugian yang besar dari sudut ekonomi.


Pihak Berkuasa Banteras Mat Rempit

Ops Lumba Haram sering dijalankan oleh pihak berkuasa seperti pihak polis dan juga pihak polis trafik untuk membanteras gajala Mat Rempit atau pelumba haram di sekitar jalan-jalan yang menjadi lokasi utama mereka merempit seperti di ibu negara.  Gejala yang menjadi barah kepada negara ini perlu sentiasa ditangani supaya gejala ini dapat dikawal penularannya.  Pihak Polis dan pihak Polis Trafik sentiasa melakukan sekatan jalan raya untuk mencegah dan menjejaki Mat Rempit yang meleluasa ini.


Tindakan sekatan jalan raya ini juga merupakan satu cabaran yang amat besar kepada pihak polis kerana Mat Rempit ini sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri mereka dari ditahan  oleh pihak berkuasa.  Walaupun pihak polis mempunyai senjata api, mereka seolah-olah berdepan dengan pihak musuh tanpa memperdulikan keselamatan diri mereka.  Pihak polis menganbil tindakan dengan menendang motosikal mereka dan ada juga yang membaling objek seperti kayu untuk memaksa penunggang yang melawan arus untuk berhenti.  Selain itu juga ada juga Mat Rempit yang bertindak nekad dengan merempuh pihak polis untuk melepaskan diri. 

 
PIHAK POLIS YANG DIREMPUH SEWAKTU MENJALANKAN SEKATAN

 Hukuman kepada Pelumba Haram


Mat Rempit yang telah ditangkap akan dikenakan hukuman yang atas kesalahan yang dibuat.  Pihak polis biasanya akan menyita motosikal yang terlibat dengan kesalahan jalan raya.  Selain itu juga, Mat Rempit ini akan dikenakan hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang trafik.



 



Kesalahan
Menaja/Menyertai Lumba Haram
Seksyen/
Kaedah Kesalahan

                         Seksyen 81
Seksyen/
Kaedah Hukuman
                      Seksyen 81(2)
                      Seksyen 81(3)
Kadar Kompaun
Mahkamah
Kadar Mahkamah
Denda RM 2000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya. Denda RM 2000 atau 6 bulan penjara dan lesen digantung 1 bulan. Sabit kesalahan kedua denda RM 5000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya dan lesen digantung selama 3 tahun




KESIMPULAN

Sebagaimana gejala sosial yang lain, peranan yang dimainkan ibu bapa adalah amat penting untuk menjayakan sebarang usaha menangani masalah tersebut. Selain mengenakan tindakan tegas ke atas mat rempit, tindakan yang sama tegas terhadap ibu bapa atau pemilik motosikal yang digunakan juga boleh membantu untuk menangani masalah ini, kalau tidak sekalipun, membantu mengelakkan gejala ini dari menjadi lebih buruk lagi. aktivis sosial termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu