Pages

Sunday, August 15, 2010

Jenayah Ragut



Jenayah ragut kini semakin berleluasa di mana sahaja, tidak kira di bandar mahupun di kampung. Agak sukar sebenarnya untuk membanteras jenayah ragut ini kerana kita tidak tahu bila ia akan berlaku dan siapa yang akan melakukannya. Saban hari kita dikejutkan dengan insiden ragut sehingga mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk setempat. Ada yang mula berfikir dua kali sebelum menjejakkan kaki keluar dari rumah mereka terutamanya pada waktu malam.

Kebimbangan mereka sememangnya berasas apabila insiden ragut kini semakin berleluasa pada masa kini. Namun, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Tetapi perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia. Mengharapkan anggota polis sahaja untuk membanterasnya amat tidak adil sama sekali. Tiada sesiapa pun yang akan tahu bilakah jenayah ini akan berlaku.

Mungkin kita sendiri yang kena ragut walaupun kita ditanamkan sikap berhati-hati untuk mengelakkannya daripada berlaku. Bagi penjenayah dan sesiapa sahaja yang gemar melakukan kejahatan, ragut adalah “kerja yang paling mudah dan menguntungkan dalam sekelip mata sahaja”. Hal ini kerana dengan beberapa saat sahaja, dompet, telefon atau beg tangan telah berjaya dilarikan oleh peragut. Kerana itulah peragut boleh membuat “kerja mudah” ini berulang kali dalam sehari. Sekali mereka berjaya melakukannya, menyebabkan mereka “gian” untuk melakukannya lagi. Yang menjadi mangsa ialah kita sendiri. Walaupun kita sering berhati-hati, namun peragut yang tidak berhati perut ini tidak mengenal mangsa.

Mereka melihat situasi yang sesuai dan keputusan yang dibuat dalam sekelip mata sahaja untuk menjalankan kerja yang terkutuk ini. Pelaku jenayah ragut semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Tidak dinafikan mereka ini adalah golongan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kebanyakannya juga terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Cara mudah bagi mereka untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah ialah meragut. Ada juga peragut yang melakukan jenayah ragut semata-mata kerana inginkan wang lebih untuk membeli barangan berharga kerana gaji yang diterima setiap bulan adalah sedikit, sedangkan nafsu kebendaan mereka sangat besar. Lebih menyedihkan, jenayah ragut kini melibatkan pula jenayah kekerasan dan kematian. Sungguh sedih mendengar berita apabila mangsa ragut terbunuh akibat mempertahankan barangan miliknya dari peragut oleh penjenayah. Peragut kini seolah-olah sudah dirasuk hantu apabila sanggup membunuh walaupun diketahui barangan yang diragut tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

Punca-punca berlaku jenayah ragut

Jika mengkaji punca jenayah dengan lebih teliti, kita akan mendapati terdapat banyak punca yang mengakibatkan berlakunya kes-kes jenayah ragut. Memang tidak dinafikan, media massa juga ialah salah satu punca kegiatan jenayah ragut. Kemudahan seperti internet, e-mail, televisyen dan radio boleh disalahgunakan oleh masyarakat untuk mendapatkan video tentang cara-cara meragut dan sebagainya.

Hal ini lebih mendorong masyarakat untuk melakukan jenayah. Secara tidak langsung, keselamatan seluruh masyarakat kini semakin teruk. Menurut kajian, ramai pelancong asing yang menjadi mangsa kepada jenayah ragut ini. Kesan kepada imej negara daripada kejadian jenayah yang melibatkan pelancong-pelancong sedikit sebanyak memberi kesan jangka panjang kepada mangsa tersebut.

Selain itu, bagi mangsa yang diragut, mereka akan menanggung kesengsaraan akibat kecederaan fizikal dan masalah kesihatan di samping mengalami trauma akibat gangguan mental dan emosi seperti rasa takut, tekanan perasaan dan rasa rendah diri. Memandangkan kes semakin meruncing, penguatkuasa undang-undang hendaklah diperketatkan. Masyarakat yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh semasa proses meragut hendaklah dikenakan hukuman mati mandatory bagi memberikan pengajaran kepada orang lain.

Punca-punca lain yang mengakibatkan jenayah ragut ialah ekonomi yang sedang merosot menyebabkan ramai orang kehilangan peluang pekerjaan yang mengakibatkan sebahagian orang rela meragut untuk mendapatkan sumber wang dengan cepat. Selain itu, penagih dadah yang meragut untuk mengumpulkan wang dan membeli dadah dari penjual dadah. Sebahagian remaja cuba meragut dengan sebab ingin mencari keseronokan atau dipengaruhi oleh rakan sebaya.

Usaha-usaha yang dijalankan untuk membanteraskan jenayah ragut

Dalam usaha mengatasi jenayah ragut, Polis Kuala Lumpur bertindak mewujudkan operasi berkonsepkan ‘kepolisan agresif’ dengan menggabungkan setiap jabatan dan cawangan untuk mengesan mereka yang terlibat dalam apa jua jenayah di ibu negara. Bagi pihak polis pula, diharapkan pendekatan itu dilakukan secara besar-besaran supaya ia dapat menutup peluang untuk semua penjenayah ragut bermaharajalela.

Polis boleh menugaskan lebih ramai anggota yang tidak beruniform bagi memantau kawasan berisiko terutamanya di kompleks membeli-belah kerana di situ terdapat ramai pelancong. Usaha-usaha lain yang perlu dilakukan untuk membanteras jenayah ragut ialah memerhatikan sekeliling anda samasa berjalan di lorong kecil atau kawasan yang sepi. Selain itu, orang ramai perlu memerhatikan orang yang disyaki dan cuba bersembunyi identiti mereka dengan memakai topi keledar, cermin mata hitam ataupun memakai topi dengan menarik ke bawah untuk menutup muka mereka.

Orang ramai perlu memegang telefon bimbit pada tangan supaya anda boleh mendapatkan pertolongan pada bila-bila masa. Orang ramai juga perlu mengelakan daripada menggunakan lorong kecil dan jalan yang sepi serta mencari beberapa orang kawan menemani anda jika anda terpaksa menggunakan jalan yang gelap dan sepi.

Kesimpulan

Semua orang haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa, kempen-kempen kesedaran, motivasi dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin negara.

No comments:

Post a Comment