Pages

Sunday, August 15, 2010

Masalah Sosial Pelajar dan Hubungannya Dengan Kemerosotan Pembelajaran




Masalah adalah sesuatu yang memerlukan penyelesaian atau juga didefinisikan sebagai perkara atau keadaan yang menimbulkan kesukaran. Sosial pula bererti segala yang berkaitan dengan masyarakat. Oleh itu, masalh sosial dapatlah disimpulkan maksudnya sebagai perkara, keadaan atau kesukaran yang berlaku dalam masyarakat hasil interaksi antara anggota masyarakat. (Naresah binti Saharam (1996) Kamus Dewan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka h:863)

            Terdapat beberapa kajian yang dibuat bagi menyelidik mengenai masalah atau gejala sosial yang berlaku di kalangan pelajar. Namun, pengkaji menggunakan perkataan yang berbeza seperti masalah disiplin pelajar, gejala sosial remaja dan salah laku sosial pelajar. Laporan jawatankuasa kabinet yang mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran 1979 merumuskan pengertian disiplin seperti berikut:
“ Disiplin dimaksudkan dengan kesanggupan seseorang individu menghormati dan mematuhi undang-undang sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri. Disiplin juga bermakna kesanggupan seseorang itu bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, kesanggupan mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu tingkah laku orang lain, kesanggupan hormat-menghormati diantara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong dan kesanggupan membina keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat”.

            Ini bererti, disiplin juga bermakna ‘kesanggupan seseorang itu bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan mengamalkan tingkah laku yang baik, menghormati hak individu lain dan tidak mengganggu tingkah laku orang lain’. Ini beerti orang yang berdisiplin tidak mengalami masalah sosial. Ini kerana mereka berkelakuan baik dan menghormati atau tidak menggaggu orang lain. Selain itu, masalah sosial ini juga dapat dikaitkan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat.

            Pelajar merupakan pemimpin masa hadapan tetapi sebelum menjadi pemimpin masa hadapan, mereka adalah pemimpin kepada diri mereka kini. Sekiranya kini mereka terlibat dengan permasalahan sosial, bagaimana mereka mahu menjadi seorang pemimpin yang menjadi contoh kepada remaja lain kelak. Remaja kini banyak terjebak kepada permasalah sosial seperti ponteng sekolah, membuli kawan, mencuri, meragut dan sebagainya. Hal ini telah membimbangkan masyarakat kini terutama kepada para pemimpin negara.

            Dalam petikan yang ditulis oleh Fatimah Bt Ali, memberi contoh kronologi masalah sosial iaitu perbuatan ‘melepak’ yang menyebabkan wujud ‘bohsia’ dan diantara kesan menjadi bohsia ialah ada di kalangan mereka yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Akibat daripada tidak ada ikatan perkahwinan yang sah, maka ada diantara mereka yang terlibat tidak bersedia untuk mempunyai anak atau pasangan mereka tidak mahu bertanggungjawab terhadap bayi yang dikandung. Justeru itu, berlakulah pembuangan bayi di tempat pembuangan sampah, perhentian bas, di hadapan masjid ataupun di kawasan-kawasan perumahan dan sebagainya sering dipaparkan dalam media massa. ( Vani Appalasami,2001)
Permasalahan yang timbul daripada satu perbuatan akan menyebabkan berlakunya masalah-masalah sosial yang lain dan menyebabkan ianya mempunyai perkaitan di antara satu sama lain.

            Pelbagai kaedah telah dilakukan bagi mengenalpasti hubungan antara masalah sosial pelajar terhadap kemerosotan pembelajaran. Antara kajian lain adalah kajian yang dibuat oleh Azizah Lebai Nordin yang diperolehi daripada petikan yang ditulis oleh Fatimah Ali iaitu kajian mengenai masalah disiplin remaja. Beliau menyentuh tentang faktor-faktor penyumbang kepada masalah disiplin pelajar. Pengkaji lain yang meninjau mengenai disiplin pelajar ialah Salmah Bt Husin. Beliau juga telah menjelaskan tentang pelbagai jenis disiplin yang terdapat di sekolah. Manakala Zool Hilmi Hj Suhaimi pula membuat kajian tentang gejala sosial remaja dan penyelesaianya. Beliau membuat perbandingan antara remaja dulu dan kini.

            Dewasa kini, masalh sosial dikalangan pelajar begitu ketara. Mereka bukan sahaja terlibat dengan penyelenggaraan disiplin yang penyelesaianya boleh dilakukan oleh pihak sekolah seperti merokok dan ponteng sekolah tetapi juga kesalahan jenayah yang melibatkan polis dan mahkamah seperti merogol dan membunuh.

No comments:

Post a Comment